Perkahwinan Kami

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Kami Bersama..(^.^)

Saturday, May 21, 2011

Diari Seorang Bapa



Bismillahirrahmaanirrahim

Masa mula-mula kahwin saya mengalami sedikit kejutan budaya, maklumlah saya tak berapa kenal keluarga isteri saya melainkan isteri saya sahaja. Saya mengalami budaya baru yang berbeza dengan keluarga saya. Saya yakin perkara ini terjadi kepada ramai pengantin-pengantin terutama yang belum sempat mengenal lebih lama keluarga pasangan mereka kemudian terus melangsungkan perkahwinan.

Saya tak ambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri, alhamdulillah semua berjalan lancar. Sekarang dengan bapa mertua pun dah boleh ngam. Sama-sama kongsi minat yang sama dalam sesetengah perkara. Perkara ini jika tidak dikendalikan dengan baik sudah tentu akan menimbulkan perasaan seolah perkahwinan yang diidamkan makin pudar.

Betul kata seorang teman baik ku, ‘ perkahwinan adalah hakikat sebenar percintaan’. Sebelum berkahwin, berapa banyak janji dan kata-kata manis bisa meniti di bibir atau handphone, tetapi lepas berkahwin dugaan dan masalah akan menguji hakikat sebenar percintaan kita.

Kini diri ini sudah bergelar seorang bapa, teringat lagi kata seorang teman yang mengajar di Gua Musang, ‘ selamat menghadapi kehidupan sebenar rumah tangga’. Sebelum ini saya ingat dah mengharungi kehidupan rumah tangga rupanya tidak. Punya seorang anak, lagi-lagi di awal kelahiran, mengajar kita menjadi manusia yang kenal benar erti susah ibu dan ayah.

Alhamdulillah kelahiran anak pertama selepas exam yang berbaki satu kertas. Saya yang sebelum ini sekadar membaca apa yang perlu dibuat untuk menyambut kelahiran pertama agak kaku menghadapi suasana sebenar. Bila anak kencing berak apa perlu buat dahulu, tanggalkan pampers atau amik air? bila menangis, dia lapar ke, nak tidur ke atau ada sakit apa-apa?

Alhamdulillah, berkat balik kampung saya banyak belajar dengan mak mertua apa yang perlu dibuat, sekarang saya tak ada masalah untuk menghadapai kerenah anak di peringkat ini (akan datang belum tentu lagi). Saya nasihatkan buat bakal bapa letakkan kesabaran di tempat teratas, dengan kesabaran jiwa akan tenang, akal mampu berfikir dengan waras, amalan menjadi betul.

Jerih payah ini adalah bentuk pengalaman baru buat bapa muda seperti saya, walaupun agak susah, kepenatan dan kelelahan itu hilang saat bermain dan menatap muka si anak. Ketenangan jiwa itu ada. Benarlah ayat al-Quran yang menyebut tentang ketenangan ini.

Pelajarilah ilmu rumah tangga dalam bentuk teori dahulu sebelum mengalami alam praktikal semoga kita tidak mengalami kejutan yang membuatkan rumah tangga itu goyah. Alhamdulillah bab-bab rumah tangga ni antara topik yang selalu menjadi bacaan saya ketika muda remaja.

Wallahu Ta’ala A’lam