Perkahwinan Kami

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Kami Bersama..(^.^)

Monday, July 18, 2011

Belasungkawa : kisah doc_girl & doc_women

Suasana hiba di saat pengebumian

Bismillahirrahmaanirrahim

Suasana hiba, itulah yang boleh saya gambarkan di sekitar tanah perkuburan Datuk Keramat pagi tadi. Kami sampai tepat 10:30 am, kata mereka disana, jenazah sudah dibawa ke kubur.

Saya ditunjukkan jalan keluar dari Datuk Keramat menuju jalan Jelatek oleh seorang pak cik yang juga menuju kesana, tidak ada apa yang dapat saya harungi kecuali jem samada kereta dan motor, juga lautan manusia yang berjalan kaki, siapakah sosok ini sehingga begitu mulia kematiaannya?

Beliaulah Dr Lo'lo', srikandi yang memperjuangkan kemuliaan manusia yang dilahirkan dari perut ibu dalam keadaan merdeka, khususnya isu Kg Baru di atas platform Parti Islam. Petah berpidato dan teguh pegangan dan semangatnya.

Selayaknya orang seperti beliau yang tidak kenal penat lelah dalam berjuang mendapat kemuliaan dari Allah dengan kunjungan yang tidak kenal lapisan masyarakat dan latar politik. Beberapa keping gambar sempat saya rakamkan sebagai tonik bagi kami yang masih hijau mengenal erti perjuangan.

Sekitar jam 11 malam merayau di internet, saya temukan berita pemergian Dr Lo'lo' di Harakahdaily, orang pertama yang saya khabarkan adalah isteri saya, walaupun sedang tidur isteri saya yang bingkas terjaga dan terkejut dengan pemergian Allahyarhamah.

Sehinggalah keesokan pagi Isteri saya beriya-iya sampaikan berita pada Ayah dan mak nya, dengan harapan Ayah dan Mak menziarahi Allahyarhamah buat kali terakhir, atas kekangan menjaga dua orang bayi, isteri saya wakilkan kami pergi.

Sebentar tadi, saat tulisan ini dicoretkan, barulah saya faham kenapa isteri saya terkejut dan beriya-iya menyuruh kami ke tanah perkuburan pagi tadi, Isteri saya adalah seorang peminat senyap Dr Lo'lo saat dibangku sekolah lagi selepas melihat karekteristik Allahyarhamah yang gigih berjuang namun tetap memelihara peribadi sebagai seorang muslimah.

Malah isteri saya mencorak hidupnya sehingga di peringkat universiti ke arah menjadi seperti idolanya itu, saya sedar mata isteri saya mula berkaca, apa yang diceritakan bukan sahaja meniti dibibir tapi lahir dari hati.

" Abang tahu kenapa email sayang doc_girl? " tanya isteri saya, " tak tahu, kenapa? " saya kembali bertanya " sebab...email Dr Lo'lo' doc_women " sambil mata isteri saya hampir menitiskan air mata.